06 Julai 2015

Psikologi Fundraising: Sympathy Lethargy

Ramai aktivis suka memainkan sentimen simpati dalam menimbulkan kesedaran terhadap sesuatu isu. Namun ini bukanlah satu strategi dan taktik yang efektif. Pertamanya seperti yang kita sudah lihat sebelum ini, ia adalah emosi negatif dan mempunyai sentuhan rendah. Audiens hanya akan turut bersimpati (sekejap) tetapi tidak berbuat apa-apa.

Keadaan lebih buruk lagi apabila sesuatu krisis kemanusiaan berlarutan dan angka korban meningkat. Sehari, dua hari, tiga hari pertama jumlah korban yang meningkat itu menggetarkan jiwa. Tetapi bila sudah masuk seminggu angka tersebut sudah menjadi sama seperti angka suhu hari ini - sekadar satu lagi fakta kehidupan.

Mengapa manusia memberi reaksi sedemikian? Cuba kita fikirkan, berapa ramai kematian serentak yang kita pernah hadapi?Dua orang, tiga orang? Lebih dari lima orang serentak jarang-jarang sekali. Sepuluh orang serentak mungkin hanya pernah dialami seorang dalam sejuta.

Oleh itu, jumlah kematian yang sebegitu banyak seperti yang berlaku semasa serangan Israel ke atas Gaza pada tahun 2014 tidak terjangkau dek akal kita. Di akhir konflik 50 hari tersebut, angka 2,251 kematian telah menjadi terlalu besar untuk dihadam. Oleh itu angka itu hanya tinggal angka.

Sympathy lethargy atau kelelahan simpati adalah sebahagian dari fitrah psikologi manusia. Kita ‘lupa’ supaya kita dapat meneruskan kehidupan tetapi itu juga bermakna banyak isu-isu kemanusian terbiar. Aktivis yang memperjuangkan isu-isu yang melibatkan konflik berpanjangan dan korban yang tinggi harus bijak mempelbagaikan pendekatan bagi mengekalkan perhatian orang ramai.

Bagaimana pula dengan penggunaan emosi marah? Kita akan bincangkan secara khusus dalam entri berikutnya. Jadi jangan lupa daftar email anda supaya tidak terlepas artikel akan datang.

Sertai Grup Email Kuasa Inisiatif

* indicates required

Tiada ulasan:

Catat Ulasan