09 Julai 2015

Psikologi Fundraising: Ammarah

Bila dikatakan emosi simpati tidak berkesan untuk menarik perhatian, adakah ini bermakna harus menggunakan kemarahan? Sebetulnya, cerita marah-marah pun tidak guna juga.

Ya, memang mudah untuk cerita anda jadi viral kerana audiens akan ‘berapi’ dan menyebarkannya. Namun, jika tidak ada tindakan susulan terhadap isu yang anda bawa lama kelamaan marah akan jadi simpati juga.

Marah itu harus disusuli dengan tindakan konstruktif dan bukannya desktruktif. Dengan itu baru boleh jadi sesuatu yang menginspirasikan dan menggerakkan audiens untuk bertindak.

Anda marah sekolah tidak dibaiki setelah setahun banjir, anda kongsikan kisahnya. Ramai yang bersama anda berkongsi kemarahan tetapi marah adalah ibarat api yang marak. Nampak sahaja garang tetapi cepat mati.

Api kemarahan itu harus ditukar menjadi nyala rasa tindakan. Jika anda mengumpul dana, kemajuan mengumpul dana itu akan memastikan nyala rasa itu terus hidup. Begitu juga jika anda mengumpulkan para tukang untuk ke sekolah tersebut dan membaikinya.

Marah memang boleh menjadi api pencetus tindakan, tetapi selalunya mati begitu sahaja. Gunakannya dengan bijak.
Seterusnya kita akan bercerita tentang penyakit gila viral. Daftar supaya anda menerima email akan datang terus ke inbox anda.

Sertai Grup Email Kuasa Inisiatif

* indicates required

06 Julai 2015

Psikologi Fundraising: Sympathy Lethargy

Ramai aktivis suka memainkan sentimen simpati dalam menimbulkan kesedaran terhadap sesuatu isu. Namun ini bukanlah satu strategi dan taktik yang efektif. Pertamanya seperti yang kita sudah lihat sebelum ini, ia adalah emosi negatif dan mempunyai sentuhan rendah. Audiens hanya akan turut bersimpati (sekejap) tetapi tidak berbuat apa-apa.

Keadaan lebih buruk lagi apabila sesuatu krisis kemanusiaan berlarutan dan angka korban meningkat. Sehari, dua hari, tiga hari pertama jumlah korban yang meningkat itu menggetarkan jiwa. Tetapi bila sudah masuk seminggu angka tersebut sudah menjadi sama seperti angka suhu hari ini - sekadar satu lagi fakta kehidupan.

Mengapa manusia memberi reaksi sedemikian? Cuba kita fikirkan, berapa ramai kematian serentak yang kita pernah hadapi?Dua orang, tiga orang? Lebih dari lima orang serentak jarang-jarang sekali. Sepuluh orang serentak mungkin hanya pernah dialami seorang dalam sejuta.

Oleh itu, jumlah kematian yang sebegitu banyak seperti yang berlaku semasa serangan Israel ke atas Gaza pada tahun 2014 tidak terjangkau dek akal kita. Di akhir konflik 50 hari tersebut, angka 2,251 kematian telah menjadi terlalu besar untuk dihadam. Oleh itu angka itu hanya tinggal angka.

Sympathy lethargy atau kelelahan simpati adalah sebahagian dari fitrah psikologi manusia. Kita ‘lupa’ supaya kita dapat meneruskan kehidupan tetapi itu juga bermakna banyak isu-isu kemanusian terbiar. Aktivis yang memperjuangkan isu-isu yang melibatkan konflik berpanjangan dan korban yang tinggi harus bijak mempelbagaikan pendekatan bagi mengekalkan perhatian orang ramai.

Bagaimana pula dengan penggunaan emosi marah? Kita akan bincangkan secara khusus dalam entri berikutnya. Jadi jangan lupa daftar email anda supaya tidak terlepas artikel akan datang.

Sertai Grup Email Kuasa Inisiatif

* indicates required

02 Julai 2015

Psikologi Fundraising: Emosi & Fakta

Kita lihat contoh mengumpul derma untuk Palestin bagi melihat perbezaan antara fakta kering dan cerita yang membawa emosi.

Iklan A

Setiap hari 10 orang kanak-kanak mati di Gaza. Sekolah-sekolah juga turut musnah diserang Israel.

Derma sekarang untuk menyelamatkan mereka.


Iklan B

Setiap hari Ahmad pergi ke sekolah bersama Hashim. Sudah lima tahun mereka bersekolah di tempat yang sama. Mereka sekelas dan duduk sebelah menyebelah.

Namun hari ini, Ahmad hanya mampu memandang sayu meja Hashim yang kosong. Semalam Hashim terkorban apabila rumahnya hancur dibedil kereta kebal Yahudi Zionis laknatullah.

Jangan biarkan lebih banyak meja menjadi kosong di kelas Ahmad. 


Derma sekarang.


Iklan mana yang lebih berkesan? Iklan A atau B?

Walaupun A menyatakan jumlah korban yang lebih tinggi berbanding B, iklan B lebih menusuk kalbu dan membuatkan kita tergerak untuk menderma.

Otak manusia sukar memproses fakta kosong nan kering tetapi pantas menghadam emosi.

Apabila mangsa diberikan nama, peristiwa itu terasa lebih dekat di hati walaupun lokasinya masih sama di Gaza. Lebih-lebih lagi kalau kita sendiri akan rakan bernama Ahmad atau Hashim.




Pemilihan perkataan juga memainkan peranan dalam meningkatkan kesan emosi. Perkataan Israel memberi persepsi itu adalah negara yang sah di mata undang-undang manusia. Yahudi Zionis Laknatullah? Dengar sahaja anda sudah naik darah. Kalau baik sikit, Negara Haram Israel.


Tapi, bukan semua emosi memberi kesan yang serupa. Berikut adalah pembahagian emosi mengikut jenis dan tahap sentuhan. Emosi sentuhan tinggi yang mampu membuatkan orang memberikan reaksi terhadap sesuatu mesej dan seterusnya berkongsi dengan orang-orang lain.

Emosi sentuhan tinggi bukan sahaja membuatkan anda memberi perhatian kepada sesuatu mesej, malah membuatkan kita lebih cenderung untuk berkongsi mesej tersebut kepada orang lain.

Oleh sebab itu banyak cerita-cerita lawak dan mengagumkan dikongsi dalam internet. Begitu juga dengan cerita marah-marah dan konspirasi.

Harus diingat ini tidak bermakna anda harus menggunakan emosi Sentuhan Tinggi sepanjang masa.

Penggunaan emosi yang melampau boleh menyebabkan anda dan organisasi anda dicop sebagai ‘emo’. Orang tak suka berkawan dengan orang-orang ‘emo’ tapi sekadar sibuk jaga tepi kain.

Prospek juga boleh mengalami keletihan minda jika mesej emosional digunakan secara berlebihan. Isu ini kita akan bincangkan lebih lanjut dalam entri akan datang. Jadi jangan lupa daftar email anda supaya tidak terlepas artikel akan datang.

Sertai Grup Email Kuasa Inisiatif

* indicates required